Pada suatu hari ketika 'Uzair memasuki kebunnya yang menghijau
dengan pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta
tertarik untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam ini.
Sesudah memetik buah-buahan dia pulang dengan keldainya sambil menikmati
keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang ditungganginya
tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah dia sedar bahawa dia telah
berada di suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh
dari negerinya sendiri.
Sebaik sahaja dia sampai ke daerah itu
dilihatnya kampung itu baru sahaja diserbu oleh musuh-musuh sehingga
menjadi rosak-binasa sama sekali. Di tapak atau bekas runtuhan terdapat
mayat-mayat manusia yang bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur.
Melihatkan pemandangan yang mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya
dengan membawa dua keranjang buah-buahan. Manakala keldainya itu
ditambat di situ, kemudian dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah
rumah yang sudah runtuh bagi melepaskan penatnya. Dalam pada itu,
fikirannya mula memikirkan mayat manusia yang sudah busuk itu.
"Bagaimana
orang-orang yang sudah mati dan hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan
kembali di negeri akhirat?" begitulah pertanyaan yang datang
bertalu-talu da tidak terjawab olehnya sehingga dia menjadi
lemah-longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu, dia
seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah
meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam atau
semalam, tetapi dia telah tidur terus-menerus tanpa bangun-bangun selama
seratus tahun lamanya.
Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di
sekitarnya sudah ramai lapisan baru, rumah serta bangunan-bangunan
banyak yang telah didirikan. Dalam masa seratus tahun itu,
segala-galanya sudah berubah, manakal 'Uzair tetap terus tidur tersandar
di dinding buruk itu menjadi jasad (tubuh) yang tidak bernyawa lagi.
Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya sudah hancur lebur
berderai.
Kemudian jasad 'Uzair yang telah mati, daging dan tulangnya
yang sudah hancur itu disusun kembali oleh Allah pada bahagiannya
masing-masing lalu ditiupkan ruhnya. Dan ketika itu juga 'Uzair hidup
kembali seperti dahulu. 'Uzair terus berdiri seperti orang yang bangun
dari tidur lantas dia mencari keldai dan buah-buahannya di dalam
keranjang dahulu.
Tidak berapa lama kemudian, turunlah beberapa malaikat seraya bertanya, "Tahukah engkau ya 'Uzair berapa lama engkau tidur?"
Tanpa berfikir panjang 'Uzair menjawab, "Saya tertidur sehari dua ataupun setengah hari."
Lalu
malaikat pun berkata kepadanya, "Bahawa engkau terdampar di sini genap
seratus tahun lamanya. Disinilah engkau berbaring, berhujan dan berpanas
matahari, kadang-kadang ditiup badai dan berhawa sejuk dan juga panas
terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanan engkau tetap baik
keadaannya. Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, dia sendiri pun sudah
hancur dan dagingnya sudah busuk."
Berkata malaikat lagi,
"Lihatlah dan perhatikanlah sungguh-sungguh. Demikianlah kekuasaan
Allah. Allah dapat menghidupkan kembali orang yang sudah mati dan
mengembalikan jasad-jasad yang sudah hancur lebur dan dengan semudah itu
pulalah Tuhan akan membangkitkan semua manusia yang sudah mati itu
nanti di akhirat untuk diperiksa dan diadili segala perbuatannya. Hal
ini diperlihatkan oleh Tuhan kepada engkau supaya iman engkau tetap dan
engkau sendiri dapat menjadi bukti kepada manusia-manusia lain supaya
engkau dan manusia-manusia lain tiada syak dan ragu-ragu lagi tentang
apa yang diterangkan Tuhan tentang akhirat itu."
Setelah 'Uzair
melihat makanan dan keldainya yang sudah hancur itu, maka 'Uzair pun
berkata, "Sekarang tahulah saya bahawa Allah itu adalah berkuasa ke atas
tiap-tiap sesuatu." Tiba-tiba keldai yang sudah hancur berderai itu
dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan tulangnya. Dan akhirnya menjadi
seperti sediakala iaitu hidup kembali bergerak-gerak dan berdiri
sebagaimana sebelum mati. Maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang tahulah
saya bahawa Allah berkuasa di atas segala-galanya." Lalu dia pun terus
mengambil keldainya dahulu dan terus menunggangnya pulang ke rumahnya
dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar untuk dikenali. Dilihatnya
segala-gala telah berubah. Dia cuba mengingati apa yang pernah
dilihatnya seratus tahun dahulu. Setelah menempuhi berbagai kesukaran,
akhirnya dia pun sampai ke rumahnya. Sebaik sahaja dia sampai di situ,
dia mendapati rumahnya sudah pun buruk di mana segala dinding rumahnya
telah habis runtuh. Semasa dia memandang keadaan sekeliling rumahnya,
dia ternampak seorang perempuan tua, lantas dia pun bertanya, "Inikah
rumah tuan 'Uzair?"
"Ya," jawab perempuan itu. "Inilah rumah
'Uzair dahulu, tetapi 'Uzair telah lama pergi dan tiada didengar berita
tentangnya lagi sehingga semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri
tidak pernah menyebut namanya selain kali ini sahaja." Kata perempuan
itu sambil menitiskan airmata.
'Sayalah 'Uzair," jawab 'Uzair dengan
pantas. "Saya telah dimatikan oleh Tuhan seratus tahun dahulu dan
sekrang saya sudah dihidupkan oleh Allah kembali."
Perempuan tua itu
terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu dia pun berkata, "'Uzair itu
adalah seorang yang paling soleh, doanya selalu dimakbulkan oleh Tuhan
dan telah banyak jasanya di dalam menyembuhkan orang yang sakit tenat."
Sambunya lagi, "Saya ini adalah hambanya sendiri, badan saya telah tua
dan lemah, mata saya telah pun buta kerana selalu menangis terkenangkan
'Uzair. Kalaulah tuan ini 'Uzair maka cubalah tuan doakan kepada Tuhan
suaya mata saya terang kembali dan dapat melihat tuan."
"Uzair
pun mendaha kedua belah tangannya ke langit lalu berdoa ke hadrat Tuhan.
Tiba-tiba mata orang rua itupun terbuka dan dapat melihat dengan lebih
terang lagi. Tubuhnya yang tua dan lemah itu kembali kuat seakan-akan
kembali muda. Setelah merenung wajah 'Uzair dia pun berkata, "Benar,
tuanlah 'Uzair. Saya masih ingat." Hambanya itu terus mencium tangan
'Uzair lalu keduanya pergi mendapatkan orang ramai, bangsa Israil.
'Uzair memperkenalkan dirinya bahawa dialah 'Uzair yang pernah hidup di
kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.
Berita itu bukan
sahaja mengejutkan bangsa Israil, tetapi ada juga meragukan dan ada yang
tidak percaya kepadanya. Walau bagaimanapun berita itu menarik
perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana itu mereka ingin
menguji kebenaran 'Uzair. Kemudian datanglah anak kandungnya sendiri
seraya bertanya, "Saya masih ingat bahawa bapa saya mempunyai tanda di
punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada benarlah dia 'Uzair."
Tanda
itu memang ada pada 'Uzair, lalu percayalah sebahagian daripada mereka.
Akan tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang lebih nyata, maka mereka
berkata kepada 'Uzair, "Bahawa sejak penyerbuan Nebukadnezar ke atas
bangsa dan negara Israil dan setelah tentera tersebut membakar kitab
suci Taurat, maka tiadalah seorang pun bani Israil yang hafal isi Taurat
kecuali 'Uzair sahaja. Kalau benarlah tuan Uzair, cubalah tuan sebutkan
isi Taurat yang betul."
'Uzair pun membaca isi Taurat itu satu
persatu dengan fasih dan lancar serta tidak salah walaupun sedikit.
Mendengarkan itu barulah mereka percaya bahawa sungguh benar itulah
'Uzair. Ketika itu, semua bangsa Israil punpercaya bahawa dialah 'Uzair
yang telah mati dan dihidupkan semual oleh Tuhan. Banyak di antara
mereka yang bersalam dan mencium tangan 'Uzair serta meminta nasihat dan
panduan daripadanya. Tetapi sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh
menganggap 'Uzair sebagai anak Tuhan pula. Maha Suci Allah tidak
mempunyai anak samada 'Uzair mahupun Isa kerana semua makhluk adalah
kepunyaan-Nya belaka. Janganlah kita was-was tentang kekuasaan Allah,
maka hendaklah dia fikir siapakah yang menciptakan dirinya itu. Adalah
mustahil sesuatu benda itu terjadi dengan sendirinya tanpa ada yang
menciptakan. Kalau masih ada orang yang ragu-ragu tentang kekuasaan
Allah, ubatnya hanya satu sahaja, hendaklah dia membaca dan memahami
al-Qur'an, was-was terhadap kekuasaan Allah itu hanya datangnya dari
syaitan.
Allah S.W.T telah meletakkan komputer dalam kepala kita untuk berfikir, oleh itu gunakanlah akal kita untuk berfikir.
Monday, February 25, 2013
KISAH TELADAN (KISAH UZAIR)
Labels:
Asal usul uzair,
cerita uzair,
kisah uzair,
Seluk Beluk Uzair
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment